Pages

Sunday, 11 September 2011

UANG BUKAN SEGALANYA, KASIH BUKAN DIJUAL BELI

Bukanlah suatu keganjilan bila bertemu manusia yang menyangka bahawa uang adalah segala galanya bagi kehidupan mereka, segala sesuatu boleh dibeli dengan uang sehingga cinta juga demikian....barangkali ia dan memang ada cinta yang demikian namun ia bukan lagi dipanggil cinta yang sejati kerana semuanya terjadi kerana uang.
Benarkah uang adalah segala galanya????

Aku menemukan seorang wanita yang agak lanjut usianya namun belum dikaruniakan cahaya mata walaupun telah lama berkahwin. Ia boleh dikatakan bukanlah seorang yang buta iman, ia memang selalu berdoa....namun sememangnya semua itu tidak cukup untuk menyatakan bahawa ia mengenal Allah sebaik baiknya. Meskipun hampir menjangkau angka 50 dia tetap berusaha mau mendapatkan anak, namun memang takdirnya kerana pintu rahimnya telah tertutup. Tetapi bukan disitu letak keganjilan permasalahannya.
Ketika ia dan suaminya bercadang untuk mendapatkan anak angkat pelbagai cara dan jalan mereka coba...namun tetap sukar untuk mendapatkannya sedangkan pasangan lain begitu mudah mendapatkannya.

Ketika wanita ini datang menemui saya dan meminta pertolongan untuk mencari seorang anak untuk mereka, saya dengan hati terbuka mau membantu pasangan ini tapi sedang hati ini simpati dengan keadaan dan keperluan mereka, wanita ini tiba tiba saja mengatakan ....." Saya heran kenapa orang tidak mau menyerahkan anak mereka kepada kami, sedangkan kami ini memang berkemampuan untuk memelihara anak, kami tidak punya permasalahan dengan wang, sekiranya mereka mau menyerahkan anak mereka kepada kami, anak itu pasti bahagia kerena kami mampu memberi kasih sayang kepada anak ini kerana kami punya wang". Lalu ia menambah lagi dan agak menyakitkan hati, " kalau mau dibandingkan dengan orang lain, kami jauh lebih mampu membahagiakan anak kerana kami banyak wang, kalau mereka mau menyerahkan anak mereka, berapa saja yang mereka minta kami pasti beri...10 ribu pun senang sahaja".

Sessi bersama wanita ini agak menyinggung perasaan saya, betapa masih ada manusia yang buta tentang harga kemanusiaan, mereka menyangka bahawa wang yang banyak mampu menyenangkan dan membahagiakan seorang anak, mereka menyangka bahwa orang orang miskin tidak akan mampu memelihara dan membahagiakan anak anak, sedangkan wanita ini sendiri bukan dilahirkan dalam keluarga yang berada.

Penyataan wanita itu tadi memberikan saya jawaban kenapa Tuhan tidak menjawab doa wanita ini, bukanlah kerana mereka ini tidak mampu kerana mereka ini orang yang kaya tetapi wanita ini sebenarnya terlalu miskin kerana menyangka dia boleh mebeli manusia dan membeli kasih sayang dengan wang, dia boleh membesarkan seorang anak menjadi manusia yang lebih berguna dan berjaya hanya kerana dia punya wang. Wanita ini bukan saja miskin kesedaran tetapi juga buta melihat dan merasa nilai kasih sayang, kerana ternyata cintanya juga dibeli dengan wang.

Meskipun demikian keadaannya, saya tetap berdoa agar pasangan ini dapat menemukan seorang anak. Saudara terkasih....bila zaman ternyata semakin celik, manusia pula menjadi semakin buta dan ianya bukan sesuatu yang pelik kerana bila kita memandang ke sekeliling kita akan ternyata semakin ramai orang yang demikian terhadap nilai kehidupan ini bahawa tidak ada yang tidak boleh dibeli dengan Wang.

Bagi manusia yang celik ia pasti dapat memandang bahawa wang bukanlah segala galanya, betapa ramai anak anak yang dilahirkan dalam kelimpahan tetapi masih tidak menjadi manusia berguna, mereka miskin dengan kasih kerana kasihlah suatu yang ternyata tidak dapat dibeli oleh mereka dari orang tua mereka sendiri. Siapakah pula manusia yang dapat membeli nyawa ketika diperlukan...kerana nyawa itu milik Allah yang tak ternilai meskipun kelihatannya percuma dari Allah, siapakah mampu membeli masa yang tetap akan berjalan tanpa henti, dapatkah kita menghentikan masa malang dari merintangi kehidupan kita dan dapatkah kita tempah masa yang berharga dan bahagia untuk diri kita.....ada banyak perkara yang tak mungkin terbeli dengan wang....

Celiklah mata, celiklah hati, celiklah rasa...kita telah dibeli dengan nilai yang lebih tinggi dan takkan mungkin dapat ditukar ganti. Dengan harga yang mahal kita telah ditebus bukan oleh kekayaan dunia tetapi dengan Darah Yesus. Kasih dapat mencipta kekayaan tetapi kekayaan tidak akan mungkin membeli kasih sayang, nilai kemanusiaan itu telah ditebus dan dimerdekakan dan tidak akan mungkin boleh di jajah dengan kekayaan manusia semata mata. Merdekakan minda agar kita tidak pernah buta menilai kasih....jangan biarkan kasihmu dijual beli sehingga ia tidak memiliki nilai lagi bagimu. Tinggallah dalam kasih Allah.

No comments:

Post a Comment